AKU BUKAN MALAIKAT, AKU BUKAN NABI & AKU BUKAN SYAITAN

Tuesday, April 28, 2009

Air Mata Kerana Teman


Perlahan-lahan aku terdiam melihat setiap langkah teman-teman lain. Tanpa aku sengaja berlinangan air mata di kelopak mata. Tiada siapa yang sedar, tiada siapa yang tahu apa yang berbicara dalam air mata aku apatah lagi dalam hati nurani aku.

Sungguh aku katakan yang aku mudah tersentuh perasaan bila sesuatu yang berlaku berkaitan teman dan persahabata. Aku tahu adakala yang berlaku bukan berpunca dari mereka. Sukar untuk aku salahkan sesiapa dalam perkara begini. Perkara-perkara yang berlaku menjadikan aku mula penat dengan setiap perilaku manusia lain dan juga diri aku sendiri. Biar apa yang berlaku disedari dengan sendirinya.

Sebagai seorang insan yang bernama teman, aku juga tidak pernah lepas dari mengguris dan juga melukakan hati teman yang lain. Sejujurnya aku memang kurang sedar dengan apa yang aku lakukan. Atas dasar aku terlalu berhati-hati dengan setiap yang aku cuba lakukan dan sampaikan membuatkan aku jadi sedemikian rupa. Mungkin juga sikap aku yang terlalu terbuka membuatkan setiap tingkah dan laku aku sedikit kasar secara dalaman. Aku tidak pernah berniat untuk menyakiti hati teman aku. Ia berlaku dengan cara tidak sengaja.



Ramai yang boleh menuding jari menuduh aku. Aku terima walau aku tahu ia berpunca dari apa. Demi manusia bernama teman aku sanggup untuk terima itu semua. Kejian, cacian, pujian dan fitnah adalah perkara biasa untuk aku. Takkan perkara sebegini aku masih tidak mampu mengalah. Aku akan bertahan selagi aku mampu untuk bertahan. Bak kata pepatah “ Jangan bermain dengan api ” atau “ Sarang lebah jangan dijolok ”, kelak akan merana kemudian hari. Fahami maksud dari ayat tersebut mungkin aku, kau dan kalian akan faham.

Seringkali air mata ini mengalir kerana teman. Aku terlalu menyanjungi sebuah perhubungan yang ikhlas yang bernama teman.

Wednesday, April 22, 2009

Tafsir Luaran


Adakala aku terfikir, bagaimana rupa dan diri aku di mata insan lain? Orang lain menafsirkan diri insan lain dengan cara tersendiri. Ia merangkumi samada negatif, positif mahupun kedua-duanya sekali. Apa yang nampak di mata aku adalah ramai yang membuat penafsiran negatif terlebih dahulu dan ada juga yang terus membencinya.

Benar! Manusia memang tidak sempurna. Jangan disalahkan tafsiran insan lain. Itu semua adalah dari sudut pandangan mereka dan pada hakikatnya juga mereka juga tidak sempurna.

Satu ketika dulu aku begitu bimbang dengan apa yang akan orang kata tentang aku. Terutama mereka yang baru mengenali atau bertemu dengan aku. Setiap penafsiran mereka terhadap aku adalah sesuatu yang aku ambil serius kerana ia menggambarkan diri aku. Pelbagai respon yang aku dapat dan kebiasaannya ia hanya untuk mengambil hati. Ada juga waktu begitu serius sehingga merendahkan keyakinan diri aku sendiri. Aku yakin ramai yang mengalami perkara yang sama. Aku begitu mengerti keadaan mereka yang begitu. Itulah hakikat makhluk di muka bumi ini.

Lama-kelamaan aku mula rimas dan jemu untuk memikirkan pandangan dan tafsiran insan lain terhadap aku. Bukan maksud aku tidak mengambil kisah langsung dan terus membuat perkara yang menjengkelkan tetapi aku hanya menjadi siapa diri aku dan tidak perlu untuk mengambil serius perkara-perkara yang boleh menjatuhkan keyakinan aku pada diri aku sendiri. Perasaan cemburu, marah, suka dadn kecewa dalam konteks ini membuatkan aku mula rasa bosan. Jika ikhlas mahu kenal diri aku, kenali aku dalaman. Jangan tafsir luaran aku kerana aku tidak sekacak lelaki lain dan tidak sehebat insan lain. Yang mampu aku beri siapa diri aku, keikhlasan, dan hati aku. Sukar untuk gambarkan siapa aku hanya tafsiran luar. Percaya atau tidak itulah hakikat diri aku.

Wednesday, April 15, 2009

Teman yang Hebat

Adakah perlu untuk jadi hebat? Lengkap segala bagai? Aku juga seperi manusia lain yang mempunya persepsi yang pelbagai. Ada satu sudut ia kelihatan sama dan ada waktunya ia agak berbeza.

Samada aku percaya atau tidak ramai yang memilih untuk menjadi terbaik dan sempurna. Malah ada yang mencari mereka-mereka yang sedemikian rupa dan bergaul hanya dikalangan mereka. Ini semua kerana kepercayaan yang telah diserapkan dari kecil terhadap bertapa berpengaruhnya mereka yang hebat dan bijak pandai boleh membuatkan kita menjadi seperti mereka. Akan tetapi pernah kita terfikir bagaimana pula dengan mereka yang kurang pintar ini? Apatah lagi jika semua mempraktikkan perkara tersebut.


Aku tidak gemar untuk melabelkan orang hanya jika aku terpaksa. Apatah lagi untuk memilih kawan. Aku tidak pernah kisah dengan siapa sahaja yang ingin berkawan. Baik atau jahatkah mereka tak akan aku jurikan. Cuma apabila ia berkaitan dengan mencari teman-teman, aku cukup memilih. Bukan kesempurnaan yang aku cari tapi keikhlasan dan kesederhaan yang mereka miliki.

Memang benar semua mahu jadi hebat malah keinginan dan kehendak untuk jadi lagi hebat sangat tinggi dalam diri. Hakikatnya manusia jangan pernah kita sangkal. Tiada manusia yang begitu sempurna. Sehebat mana pun dia pasti ada kekurangan samada sedar atau diluarjangkaan individu itu sendiri. Tidak juga aku sangkal bahawa manusia pasti ada kehebatan tersendiri.

Jangan pernah ego dengan kehebatan yang kita ada. Nescaya kekurangan kita pasti akan makin terselah.

Wednesday, April 08, 2009

yoyooh.com blogger awards

Aku telah dicalonkan dalam satu anugerah blog anjuran yoyooh.com. Blog aku dinominasi oleh teman aku. Aku menominasikan blog teman-teman aku yang lain. Alhamdulillah kebanyakan blog teman-teman aku yang aku nominasi telah disenarai pendekkan.

Yang paling mengejutkan aku apabila teman aku memberitahu tentang blog aku juga telah disenarai pendekkan dalam anugerah tersebut. Itu satu perkara yang mengejutkan aku. Tidak habis disitu, kemudian aku makin terkejut apabila kategori dimana blog aku disenarai pendekkan adalah kategori yang aku tak pernah jangka. Kategori blog infomasi/editorial terbaik.



Aku tak pernah menjangkakan blog yang aku jana sejak penghujung 2005 ini mendapat tempat dalam anugerah tersebut. Apatah lagi yang mengejutkan aku kerana blog aku sering menjadi bahan sindiran orang. Antara yang sering diperkatakan orang adalah blog aku adalah blog sendu, blog yang bosan (mungkin kurang gambar-gambar) dan sebagainya. Namun demikian aku tetap berbangga dengan blog aku ini walau sering mendapat sindiran orang-orang lain.

Tidak lupa ada juga yang suka dengan cara aku menulis dan isu yang aku tonjolkan dalam blog aku. Seorang teman aku pernah berkata yang dia suka cara aku berkongsi cerita kerana lebih terbuka dan umum. Dia juga tidak mahu aku mengubah corak penulisan blog aku.

Sejuta terima kasih kepada yang sudi mengundi blog aku sehingga disenarai pendekkan. Kepada semua khususnya teman-teman yang aku yang disenarai pendekkan, semoga berjaya dan teruskan dengan apa yang kita buat. Berani kerana benar.

Kepada yoyooh.com terima kasih kerana menjadi dasar untuk kami untuk menonjolkan idea dan pendapat dengan cara ini. Semoga kita akan lebih maju dan berjaya.

Antara dua teman

Dalam kehidupan kalian dan khususnya aku, perkara ini pasti acapkali berlaku. Berada ditengah-tengah antara dua insan. Keadaan yang boleh aku samakan dengan pepetah Melayu ”ditelan mati mak, diluah mati bapa”. Adakalanya sampai aku sendiri terpaksa merahsiakan perjumpaan atau perbualan antara aku dan pihak lagi satu. Ini bukan bermaksud yang antara dua pihak ini mengalami masalah antara mereka, tapi mungkin disebabkan satu pihak akan rasa tidak adil jika aku melayan pihak yang lagi satu lebih dari dia ataupun aku memberi keutamaan kepada pihak lagi satu atau sebaliknya.

Bagi aku setiap sahabat, teman dan rakan mempunyai cara tersendiri untuk dilayan. Tidak semua orang suka cara layanan kita pada orang lain. Mungkin dengan pihak ini aku perlu lebih terbuka dari segi pemikiran, pandangan, perbualan dan sebagainya. Pihak yang lagi satu aku perlu lebih tenang, berhati-hati dan fikir sebelum aku cakap. Keadaan ini memerlukan aku untuk kenal siapa orang yang aku berada bersama. Supaya tidak timbul sebarang masalah kelak.

Tidak semua isu atau perkara itu yang memerlukan kita utamakan mana-mana pihak dan juga sebaliknya. Mungkin perkara itu kita perlu untuk mengutarakan pada pihak lain sebelum mereka. Jadi, aku rasa tidak perlu untuk mana-mana pihak menjadikannya isu kerana bagu aku setiap apa yang berlaku pasti bersebab. Bukan sewenang-wenangnya kita hendak menyakiti hati orang lain atau mengecewakan orang lain atas perkara ini.


Pernah satu ketika dimana perkara yang atas dasar yang sama berlaku secara cara berbeza. Aku tahu dua-dua pihak ada bersama dan aku juga percaya yang mereka akan kongsi perkara yang aku nyatakan. Akan tetapi salah seorang dari mereka agak tersentak apabila aku hanya menghubungi satu pihak. Dalam keadaan itu aku rasa tidak perlu untuk aku membazir menghubungi dua-dua pihak kerana mereka bersama setiap masa. Perkara itu berlanjutan sehingga menyakitkan hati aku dan teman aku pada waktu itu. Kami menanti mereka sehingga larut malam kerana mereka tidak membalas sebarang respon kepada kami atas sebab salah seorang dari mereka tersentak dengan perkara itu. Demi untuk menjaga hati pihak lagi satu, pihak satu lagi tidak memberi sebarang respon keatas setiap panggilan aku. Sejujurnya aku menjadi tidak faham dengan perkara ini. Dalam hal ini juga aku tidak tahu nak menyalahkan siapa. Adakah salah aku, mereka atau keadaan waktu itu?

Memang sukar menjaga hati insan lain terutama hati teman-teman rapat sendiri. Namun aku tahu aku dan orang lain sentiasa berusaha untuk satu perhubungan yang baik. Tak mungkin ada orang yang mahu sakitkan hati teman sendiri. Percayalah pasti ada sebab mengapa keadaan itu berlaku dan bersikap terbukalah pada teman-teman. Kawan memang mudah dicari tapi teman yang setia kita perlu berkorban menjaga hati dan menerima siapa diri kita dan diri mereka masing-masing.

Monday, April 06, 2009

Dendam Dalam Diam

Pernah suatu ketika dahulu aku menyatakan bahawa aku bukan seperti nabi yang bisa sempurna. Aku adalah manusia biasa dan lemah. Aku juga punya rasa marah, dendam dan benci. Sebagai seorang manusia biasa yang tak pernah lekang dari kesilapan, keterlanjuran dan kebencian. Sebaik mana aku dan manusia lain, percayalah dalam sesaat waktu pasti ada yang terluka dengan tindak tanduk dan perilaku aku.

Aku seorang yang bukan mudah meluahkan rasa dan perasaan dalam hati terutama perasaan marah. Mungkin bagi aku pendam merupakan jalan terbaik bagi mengelakkan sebarang pertelingkahan mahupun bangkitkan amarah mana-mana pihak. Namun adakalanya terlepas jua dari genggaman jagaan aku sendiri. Sejujurnya dalam pada masa yang sama ada timbulnya perasaan dendam yang menyelubungi diri. Dendam itu bukan sifat sebenar aku tapi ada perkara yang perlu untuk aku dendamkan.


Kebiasaannya aku tidak akan membalas dendam aku pada sesiapa yang melukakan atau menyakitkan aku. Dendam aku hanya terbalas dalam keadaan diam khususnya pada mereka yang tidak pernah kenal erti persahabatan sebenar, erti sebuah percintaan dan juga penghargaan. Insan lembut diluar seperti aku memang cukup keras melawan dari dalam diri. Ia sukar untuk digambarkan.

Tak mungkin untuk aku berkasar, mengkhianati, menganiaya dan mencaci mereka kerna aku tahu Tuhan itu Maha Adil pada semua. Tuhan tahu cara terbaik untuk membalas dan Tuhan juga tahu untuk menentukan. Dendam tak semestinya harus dibalas.