AKU BUKAN MALAIKAT, AKU BUKAN NABI & AKU BUKAN SYAITAN

Thursday, August 27, 2009

Apa rasanya?




Sebagai seorang insan aku juga mempunyai perasaan. Ini bukan kerana cemburu atau keinginan untuk berada bersama kumpulan manusia tertentu atau dalam acara tertentu. Aku tak marah cuma aku rasa sedikit kesal dan terkilan dengan segelintir manusia yang tiada sensitiviti walaupun sedikit terhadap sahabat dekat mereka sendiri.

Perkara yang aku alami dan semakin hari semakin jelas dipandangan aku membuat aku mula rasa meluat dan kesal. Aku sedar dan pasti ada dikalangan mereka ini kurang selesa dengan aku akan tetapi pernahkah mereka terfikir yang sebenarnya mereka juga kurang disenangi oleh manusia-manusia lain disekelilingnya. Pada dasar persahabatan yang lama atau agenda lain mereka masih diterima sebagai sahabat. Apa yang aku katakan ini adalah sampingan untuk perkara yang sebenar ingin aku sentuh.

Cuba letakkan diri dalam keadaan ini, kalian berkawan dan sering bersama dalam apa jua acara. Ramai yang tahu kalian berada dilingkungan tersebut akan tetapi semenjak beberapa waktu anda bagai disisihkan pada keadaan yang tertentu padahal manusia lain yang tak pernah menyertai mereka mendapat jemputan itu dan ini dari mereka. Mungkin pada peringkat pertama anda tidak mengetahui tentang jemputan-jemputan tersebut. Namun akhirnya kalian mengetahuinya dengan apa jua cara. Ada juga dikalangan mereka atau manusia lain yang mengetahui tentang jemputan tersebut telah bersuara untuk menanyakan pada kalian samada kalian menyertainya atau tidak. Hakikat sebenar anda tak pernah mengetahui tentang jemputan tersebut. Apakah reaksi kalian? Bagaimana perasaan kalian?

Jika kedudukan kalian jauh dari mereka mungkin akan ada sebab yang kalian fikirkan tapi jika mereka itu terlalu dekat dengan kalian, apa yang kalian fikirkan tentang keadaan itu?

Aku bukan pernah mengharap untuk sertai jemputan-jemputan tersebut, cuma sikap sensitiviti persahabatan itu yang penting bagi aku. Tak pernahkah mereka terfikir apa perasaan manusia lain jika dapat tahu tentang aktiviti tersebut tapi tidak menjemput sahabat yang dekat dengan mereka? Dan apa pula kata manusia lain jika mengetahui yang sahabat dekat tersebut tidak dijemput?

Aku tahu bila perlu untuk aku hadir dalam lingkungan mereka. Malah aku takkan sentiasa ada dikalangan mereka-mereka ini. Di depan bagaikan mawar merah yang mekar kembang namun dibelakang bagai duri di tangkai mawar menusuk jari. Aku boleh katakan ini semua kerana peresaan cemburu dengan apa yang aku miliki dan lalui. Mereka sekadar sekolompok manusia tanpa kehidupan yang menerujakan pada setiap hari-hari mereka sendiri. Manusia yang hanya berada dalam tempurung mereka sendiri. Teruskanlah jika itu memang sifatnya.

Monday, August 10, 2009

Mimpi yang nyata


Setiap kali aku bangun dari tidur, aku cuba bayangkan semua ini masih di alam mimpi. Seperti aku akan bangun kembali dari tidur ku. Perkara yang mampu untuk aku biarkan ia berlalu dengan penuh rasa dan bayangan. Tidak perlu untuk aku fikirkan apabila aku terjaga aku dari tidur kerna hari baru untuk aku bermula.

Waktu itu tiba dan aku sedar dari mimpi ku. Pada hakikat itu aku tersentak setiap satu yang menghantui diri ku bukanlah mimpi mahupun ilusi. Realiti yang seharusnya aku hadapi. Aku tahu ia perih namun itu juga harus aku hadapi. Ku cuba untuk lelapkan mata ku, namun ia masih ketara aku berpijak dibumi nyata.

Aku tahu yang aku tak mampu harungi waktu itu, daya aku tiada. Menangis tanpa air mata. Merintih tanpa kata. Aku hilang arah, kemana harus aku berpaling. Dalam diri aku masih bertanya, adakah aku masih di alam mimpi? Jika tidak, kenapa harus aku lalui semua ini? Sampai bila ini harus berlaku? Bagaimana harus aku keluar dari percaturan?

Ku gagahi jua waktu-waktu itu walau segala dalam diri aku bagai runtuh ditimpa langit. Adakala aku riuh bagai ayam bertelur dan ada waktu aku sunyi bak angin lalu. Perasaan dan emosi memang tak menentu. Jauh di dalam diri aku percaya adanya cahaya dan kesudahan untuk mimpi yang nyata ini. Cuma persoalannya adakah aku masih mampu untuk menanti saat itu tiba?

Hari makin berlalu, siang makin jauh. Sinar gelap menerangi segenap ruang. Aku mengharap tidurku lena seperti dulu atau mungkin mimpi dan ia hanya sekadar mimpi mainan tidur. Jika ia masih belum berubah, hanya pada Tuhan aku memohon untuk memberi kekuatan dalam diri aku tempuhi setiap mimpi nyata tersebut.

Monday, August 03, 2009

Keindahan Kesamaran


Dalam terang cahaya pasti ada sudut yang aku lihat samar. Kesamaran yang adakalanya jelas dari pandangan dan ada juga sebaliknya. Kesamaran yang ada puncanya seperti dilindungi atau terlalu jauh dari cahaya mahupun tanpa sebab dan alasan yang kukuh. Walau kita cuba untuk sorotkan cahaya melampaui segenap ruang malap, ia masih kekal ruang yg samar dari sudut pandangan pertama.

Kesamaran sering dilihat dari sudut yang sama. Malap dan tidak berseri. Namun itu adalah pelengkap pada keindahan. Jika setiap ruang itu diterangi cahaya indah, pasti semua mampu melihat setiap sudut ruang. Yang indah pasti ternampak dan juga yang buruk pasti terlihat. Tanpa kesamaran, cacat ruang itu jelas di mata.


Justeru, sesamar mana ruang itu, seberat mana beban pada keadaan itu, percaya bahawa itu adalah pelengkap kepada setiap kehidupan. Sebuah kehidupan akan lebih lengkap seperti kesamaran yang melengkapi sudut sebuah ruang. Walau tidak indah di mata namun ia juga menghiasi kecacatan ruang tersebut. Jangan pernah jadikan beban itu sebagai punca kelemahan. Ia sekadar pendorong kepada kejayaan dan kebaikan.


Itu yang selalu aku pegang dalam apa jua yang berlaku. Aku percaya pada takdir dan kenyataan. Biarpun sukar tapi aku pasti ada hikmah disebalik setiap yang berlaku. Aku buka diri dan terima semua seadanya.