AKU BUKAN MALAIKAT, AKU BUKAN NABI & AKU BUKAN SYAITAN

Monday, December 28, 2009

Karma

Mungkin ada orang akan menilai tentang aku pada pandangan yang negatif, adalah kerna aku percaya pada karma. Ini kerna aku percaya tentang keadilan Maha Pencipta. Perkara baik akan dibalas baik dan sebaliknya. Semua itu ada sebab dan hikmahnya.

Apa yang berlaku kini mungkin adalah karma. Sukar untuk aku nyatakan dengan perkataan atau gambarkan dengan bayangan. Cuma yang aku mampu nyatakan aku pasrah dan redha dengan ketentuan ini. Aku faham ia bukan mudah untuk dihadapi dan itulah hakikat yang mungkin semua antara manusia hadapi.


Banyak hati yang aku lukakan, banyak jiwa yang aku kecewakan, atas dasar diri sendiri aku terpaksa lakukannya. Tidak sesekali aku letakkan simpati ataupun nafsu dalam hal sebegini. Pada naluri dan hati aku sendiri, ia bukan salah aku untuk mengecewakan hati insan lain. Sungguh pada ku yang disudut hati aku rasa bersalah dengan insan-insan yang pernah luahkan pada ku isi hati mereka.

Bukan mudah untuk aku membuka hati menerima cinta. Setelah cinta ku berikan selama ini bagai digadai tanpa erti. Dipermainkan hati dan diperdagangkan cinta membuatkan hati aku keras menerima sebarangan cinta lagi.

Sekeras kerak hati ini namun ia lembut dibuai rasa cinta. Terkedu bila hati ini dilembutkan oleh insan itu. Dibelai dengan kasih, ditatang tidak jatuh dan hampir setiap perkara manis di dunia ini dilimpahi pada ku. Pada mula aku memberi amaran jangan pernah bermain api namun aku kalah bila api itu adalah indah dimata ku. Aku tetap perlahankan langkah ku supaya tidak tertimbus terus dalam dasar yang aku sendiri belum pasti. Semakin lama aku nanti semakin indah datang menepati. Acapkali aku melintasi ruang tersebut, terus terbayang wajah kau, terhinggap haruman kau, tersingkap bisikan dan nafas kau atas kenangan manis yang pernah kau curahkan pada aku.

Benar aku tipu yang aku tidak kecewa bila itu yang kau nyatakan. Aku benar-benar faham keadaan itu. Itu kebaikan kau dan aku, aku terima dengan senyuman dan harapan. Harapan jika ia masih ada ruang untuk aku, walau aku tahu ia tak mungkin terjadi. Acapkali aku melintasi ruang tersebut, terus terbayang wajah kau, terhinggap haruman kau, tersingkap bisikan dan nafas kau, setiap itu adalah atas kenangan manis yang pernah kau curahkan pada aku.

Aku jangka ia mudah namun ia adalah perkara paling sukar untuk aku lepaskan. Dengan perlahan aku cuba mengawal, syukur aku masih waras mengawalnya. Dengan berat hati aku redha dengan keadaan itu kerna aku percaya selagi aku ikhlas dengan setiap perilaku aku, diri aku masih menanti kau.


Aku tahu tak adil bagi mereka yang lain jika aku berlaku begini. Hati tak mungkin aku nafikan, takkan boleh untuk aku paksa. Aku akan biarkan perasaan ini berlalu dengan waktu kalau benar memang tiada aku dalam kau. Inilah karma untuk aku dan aku tahu tak salah untuk aku begini. Biar kecewa sekarang dari kecewa kemudian. Aku masih mampu bertahan sekarang dan kemudian. Maafkan aku.

Monday, December 07, 2009

Bila...


Bila cahaya indah menembus jendela hati, berbunga keriangan sebuah impian. Bagai bumi hijau tanpa sempadan. Girang sebuah irama dalam hati berlagu tanpa henti. Itulah nada sebuah hati yang bahagia bila cinta itu datang menyinggah. Hidup persis sebuah impian yang tinggi menjulang, dibuai laju dek masa, diiringi merah mawar berkembang dan perasaan teruja bak pelangi yang muncul tanpa diduga.

Bila kelam pandangan, makin kabur haluan. Acapkali dihampiri angin makin bergetar roma berirama. Bagi disentuh rasa tak percaya.

Tanpa segan didakap erat supaya tak hilang darinya. Itulah butanya cinta pada manusia. Tidak kenal siapa diri, malah dibiarkan ego dan perasaan menguasainya, mengawalnya, menghunuskannya dan kala itu tiada apa yang mampu menghalang darinya membuktikan cinta agungnya. Walau tak pernah terlintas difikirannya bahawa ia sejati atau sekadar penyinggah sementara dan berlalu kemudiannya.



Bila bunga mekar indah mula layu, gugur menyembah bumi dan tiada haruman lagi. Hati melonjak dipukul ombak. Menghempas bah di pasir halus. Berderai kaca jatuh ke lantai. Begitulah hati bila dirobek rasa kecewa. Yang dulunya disulam kata-kata manis yang indah. Dipuja dan dijulang bagi puteri di kaki pelangi. Kini segalanya musnah yang tinggal hanya dendam dan benci. Jangan dibakar amarah itu kelak ia memakan diri. Jangan ditambah bara yang ada pasti membuak kerak hati. Namun tak semua menghempas pantai. Takdir memaksa mereka berpisah. Tiada salah pada sesiapa, cuma ketentuan yang tidak memihak padanya. Tiada iri mahu benci, masih tinggal sayang dan kasih. Menyintainya dari jauh.

Bahtera pernah berlayar indah, pernah juga karam dalam perlayaran. Demi mengejar cita dan cinta bahtera karam dilayari semula. Meredah gelora lautan yang makin mendalam dengan penuh rasa hati-hati. Bila kasih berpadu kembali, ia lebih menjaga hati. Memberi yang terbaik bagai tiada lagi hari esok. Seluruh hati tetap dipetaruhkan demi sebuah peluang keduanya. Buktikan cintanya demi kasih yang terunggul kerana peluang kedua adalah peluang terakhir.