AKU BUKAN MALAIKAT, AKU BUKAN NABI & AKU BUKAN SYAITAN

Thursday, October 22, 2009

Kerana benci...


Bila aku berlaku jahat memang akan mengundang masalah, malah bila aku berlaku baik pun masalah tetap akan datang tanpa diundang. Tak pernah terlintas untuk aku menyimpan agenda atau niat lain bila aku berlaku baik pada seseorang, sesuatu keadaan mahupun keatas diri aku sendiri.

Pernah suatu ketika dulu aku dilayan buruk oleh seorang insan. Layanan buruk itu mendatangkan perasaan benci terhadap insan ini. Aku sentiasa mengeji, mencemuh mahupun mohon supaya dia mendapat keburukan. Aku begitu benci untuk melihat muka insan tersebut. Ada juga waktu dimana aku sampai meludah bila melihat bayang dia dihadapan aku.

Insan tersebut sering menjadikan aku sebagai bahan senda tawa rakan-rakan mereka, menghina aku dikhalayak ramai malah juga pernah menganiaya aku sehingga aku rasa seperti sampah dalam hidup mereka. Dimana salah aku pada mereka pun aku sukar untuk aku nyatakan. Mengapa dia terlalu membenci aku pun aku tidak mengerti sehingga kini.

Dengan Kuasa Tuhan, dia berpindah tinggal bersama teman rapat aku dan rakan-rakan mereka yang lain. Aku dengan berat hati ini terpaksa berhadapan dengan dia setiap hari kerana aku bertemu dengan teman rapat aku ketika itu. Pada satu ketika, aku dalam keadaan agak gawat. Sehingga aku sendiri buntu untuk menyelesaikan keadaan tersebut. Dengan tidak aku sangka, insan yang selama ini aku benci, insan yang selama ini aku ludah adalah insan yang paling ikhlas membantu aku. Bukan pada waktu itu malah dia juga adalah insan yang sering menjadi telinga, mata dan teman yang sering ada dengan aku. Keikhlasan dia membuka hati aku untuk tidak membenci orang lain walau orang itu membenci aku, menghina diri aku dan memandang serong siapa aku.

Sejak dari itu, kami menjadi teman rapat. Aku dan dia sering memberi sokongan setiap yang mereka lakukan. Aku sentiasa mendoakan kejayaan dan kebahagian dia. Alhamdulillah dia berjaya dalam hidupnya dan tak pernah lupakan aku sebagai seorang sahabat.


Pengalaman yang aku tak pernah lupa ini sering memberi aku peringatan bahawa jangan pernah kita menyumpah seranah atau mendoakan keburukan untuk orang yang melakukan sesuatu yang buruk pada kita. Malah jangan sesekali mengeluh jika mereka-mereka ini mohon bantuan kita. Percaya atau tidak mereka sebenarnya adalah insan paling ikhlas bersama kita. Selagi aku ikhlas, aku percaya Tuhan itu akan beri petunjuk atas keikhlasan tersebut. InsyaAllah.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home