AKU BUKAN MALAIKAT, AKU BUKAN NABI & AKU BUKAN SYAITAN

Tuesday, September 15, 2009

Rupanya Hujan Ditengahari

Sesiapa sahaja di muka bumi ini akan hadapi saat kecewa. Saat perih ditinggalkan mahupun saat sukar menghadapi kenyataan. Persis kata-kata pepatah yang sering aku dengar di dalam corong radio melalui lirik-lirik lagu mahupun kata-kata dalam drama, ’ Ku harap panas sampai ke petang, rupanya hujan ditengahari’. Dalam keadaan ini ramai yang tak menyediakan payung kerna tak menjangkakan apa yang mungkin akan berlaku. Secara realiti masih belum bersedia dari segi mental sehinggakan sanggup menyeksa diri.




Aku tahu memang sukar untuk kita terima keadaan yang tidak pernah kita jangka apatah lagi ia mengecewakan diri kita. Keadaan yang dulunya sering aku hadapi sehingga aku menyeksa diri aku sendiri. Air mata ini bagaikan tiada harga lagi pada aku bila ia mengalir tanpa henti. Perkara yang berlaku betul-betul membuat aku tersentak dan terkilan. Dalam aku berusaha untuk menjadi terbaik namun ia tiada ertinya. Hidup aku bagai tiada lagi ruang untuk aku bernafas dan bergerak. Kaki ku bagai dipasak ke tanah, tangan ku bagai lumpuh, minda ku hilang dibawa angin dan rasional aku terus terpadam dalam diri. Bila keadaan mengawal diri aku, aku mula lakukan perkara yang aku sendiri malu bila aku kenangkan. Mengekori, mengintip dan memberontak untuk mendapat perhatian dan sekadar untuk menyedapkan hati sendiri. Ada ketika kita akan sedar ia hanya membuang masa, tenaga dan segalanya.


Pada satu tahap aku mula redha dengan setiap perincian yang berlaku. Belajar dari kesilapan yang aku lakukan serta kesilapan insan lain. Benar seperti yang dikatakan oleh insan lain, kita berhak mendapat hidup yang gembira, bahagia dan tenang seperti manusia-manusia lain. Perlahan-lahan aku mula belajar menahan diri dari terlalu mengikut perasaan kerna aku tahu setiap perkara yang berlaku semua ada sebab dan hikmahnya. Kenapa Allah itu jadikan perkara itu sebegitu, dan semua itu adalah untuk kebaikan aku. Jika aku teruskan, nescaya ada yang lebih buruk akan berlaku.

Pada aku, setiap masalah atau perkara yang berlaku adalah untuk menguatkan lagi semangat dalam diri kita. Apatah lagi bila kita menghadapi masalah lain akan datang. Aku sentiasa letakkan keadaan itu kepada ruang yang positif. Supaya aku lebih menerima kenyataan itu adalah untuk kebaikan aku dan sekeliling aku. Untuk kebaikan bersama.